Segala puji
bagi Allah semata-mata dan shalawat serta salam semoga sentiasa
dicurahkan kepada Rasulullah SAW yang tiada Nabi setelahnya.
Sesungguhnya
salam itu merupakan sunnah terdahulu sejak zaman Nabi Adam a.s sehingga
ke hari kiamat, dan salam merupakan ucapan para penghuni syurga, Dan ucapan mereka di dalamnya adalah salam.
Salam merupakan sunnah para Nabi, tabiat orang-orang yang bertakwa dan
semboyan orang-orang yang suci. Namun, dewasa ini, benar-benar telah
terjadi kekejian yang nyata dan perpecahan yang terang di tengah-tengah
kaum muslimin! Jikalau engkau melihat mereka, ada saudara semuslim yang
melintasi mereka, mereka tidak mengucapkan salam kepadanya. Sebahagian
lagi hanya mengucapkan salam hanya kepada orang yang dikenalinya sahaja,
bahkan mereka merasa aneh ketika ada orang yang tidak dikenalinya
memberi salam kepadanya, mereka mengingkarinya dengan menyatakan “Apakah
anda mengenali saya?”.
Sedangkan
yang demikian itu merupakan penyelisihan terhadap perintah Rasulullah
SAW sehingga menyebabkan semakin menjauhnya hati-hati mereka, semakin
merebaknya perangai-perangai kasar dan semakin bertambahnya perpecahan.
Bersabda Nabi SAW : “Tidaklah kamu akan masuk syurga sehingga
kamu beriman, dan tidaklah kamu dikatakan beriman sehingga kamu saling
mencintai. Mahukah kamu aku tunjukkan kepada sesuatu yang jika kamu
mengamalkannya nescaya kamu akan saling mencintai, iaitu sebarkan salam
di antara kalian.” (HR Muslim).
Di dalam hadits Muttafaq ‘alaihi, ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, “Islam
bagaimanakah yang baik?” Rasulullah SAW menjawab, “Memberi makan dan
mengucapkan salam kepada orang yang engkau kenali mahupun yang tidak
engkau kenali.” (Muttafaq ‘alaihi).
Maka yang
demikian ini merupakan suatu anjuran untuk menyebarkan salam di
tengah-tengah kaum muslimin, dan bahawasanya salam itu tidaklah terbatas
kepada orang yang engkau kenali dan sahabat-sahabatmu sahaja, namun
untuk keseluruhan kaum muslimin.
Adalah Abdullah Ibnu ‘Umar r.a pergi ke pasar pada pagi hari dan berkata :“Sesungguhnya
kami pergi bertolak pada pagi hari adalah untuk menyebarkan salam, maka
kami mengucapkan salam kepada siapa saja yang kami jumpai.”
Salam itu
menunjukkan ketawadhukkan seorang muslim, ia juga menunjukkan kecintaan
kepada saudaranya yang lain. Salam menggambarkan akan kebersihan hatinya
daripada dengki, dendam, kebencian, kesombongan dan rasa memandang
rendah kepada orang lain. Salam merupakan hak kaum muslimin antara satu
dengan lainnya, ia merupakan sebab tercapainya rasa saling mengenali,
bertautnya hati dan bertambahnya rasa kasih sayang serta kecintaan. Ia
juga merupakan sebab memperolehi kebaikan dan sebab untuk seseorang
masuk syurga. Menyebarkan salam adalah salah satu bentuk menghidupkan
sunnah Rasulullah SAW.
Bersabda Nabi SAW : “Lima
perkara yang wajib bagi seorang muslim ke atas saudaranya, menjawab
salam, mendo’akan orang yang bersin, memenuhi undangan, menjenguk orang
sakit dan menghantarkan jenazah.” (HR Muslim).
Wajib bagi
sesiapa yang diberi salam menjawab dengan jawapan yang serupa sebagai
bentuk ittiba’ terhadap perintah Rasulullah SAW. Dari Abi Sa’id
Al-Khudriy r.a, Rasulullah SAW bersabda : “Jauhilah oleh
duduk-duduk di pinggir jalan!” mereka berkata, “Ya Rasulullah, kami
tidak boleh meninggalkan majlis kami ini dan juga bercakap-cakap di
dalamnya.” Maka Rasulullah SAW menjawab, “Jika engkau enggan
meninggalkannya, maka berilah haknya jalan.” Mereka berkata, “Apakah
haknya jalan itu wahai Rasulullah?” menjawab Rasulullah, “Menundukkan
pandangan, menyingkirkan gangguan, menjawab salam serta amar ma’ruf nahi
munkar.” (Muttafaq ‘alaihi).
Imam Nawawi Rahimahullah berkata : “Ketahuilah,
sesungguhnya memulai salam itu adalah sunat, dan membalasnya adalah
wajib. Jika si pemberi salam itu jumlahnya ramai, maka yang demikian ini
merupakan fardhu kifayah ke atas mereka, maksudnya jika sebahagian
telah mengucapkan salam bererti mereka telah melaksanakan sunat salam
atas hak keseluruhan mereka. Jika yang diberi salam seorang diri, maka
wajib ke atasnya menjawabnya. Jika yang diberi salam ramai, maka
menjawabnya adalah fardhu kifayah atas hak mereka, maksudnya jika salah
seorang daripada mereka telah menjawabnya maka gugurlah kewajipan bagi
yang lainnya. Namun, yang lebih utama adalah memulai memberi salam
secara bersama-sama dan menjawabnya dengan bersamaan pula.”
ADAB-ADAB SALAM
1.
Disunnahkan tatkala bertemu dua orang di jalanan, iaitu orang yang
berkenderaan supaya memberi salam kepada yang berjalan kaki, yang
sedikit kepada yang ramai dan yang muda kepada yang tua. Bersabda Nabi
SAW : “Hendaklah salam bagi yang berkenderaan kepada pejalan
kaki, yang berjalan kaki kepada yang duduk dan yang sedikit kepada yang
ramai.” (HR. Muslim).
2. Seharusnya orang yang hendak memberikan salam kepada kaum muslimin ialah denganmengucapkan salam dan bukan dengan ucapan ‘selamat pagi’ atau ‘selamat datang’ ataupun ‘hello’, hendaklah dia memulainya dengan salam kemudian baru dia boleh menyambutnya dengan sapaan yang diperbolehkan di dalam Islam.
3. Disukai
bagi seorang muslim yang akan masuk ke rumahnya, mengucapkan salam
terlebih dahulu, kerana sesungguhnya berkah itu turun beserta salam,
bersabda Nabi SAW : “Jika engkau hendak masuk ke rumahmu, hendaklah engkau salam, nescaya berkat akan turun kepadamu dan keluargamu.” (HR Turmudzi).
“Dan jika tidak ada seorangpun di dalamnya, maka ucapkan, Assalamu’alainaa ‘ibaadillahish shaalihin.” (HR Muslim).
4.
Seharusnya mengucapkan salam itu dengan suara yang dapat didengar namun
tidak mengganggu orang yang mendengar dan membangunkan orang yang tidur.
Dari Miqdad r.a berkata :“Kami mengangkat untuk Nabi
bahagiannya daripada susu, dan beliau tiba saat malam, mengucapkan salam
dengan suara yang tidak membangunkan orang yang tidur dan dapat
didengar oleh orang yang jaga.” (HR Muslim).
5.
Dianjurkan untuk memberikan salam dan mengulanginya lagi jika terpisah
daripada saudaranya, walaupun hanya dipisahkan oleh tembok. Dari Abu
Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang di antara
kalian bertemu dengan saudaranya, hendaklah dia memberi salam, dan jika
terpisah antara keduanya oleh pohon, tembok ataupun batu besar lalu
bertemu kembali, hendaklah kamu mengucapkan salam lagi kepadanya.” (HR Abu Dawud).
6. Ramai
ulama’ memperbolehkan seorang lelaki mengucapkan salam kepada seorang
wanita, dan sebaliknya, selama aman daripada fitnah, sebagaimana seorang
wanita mengucapkan salam kepada mahramnya, maka wajib juga atasnya
untuk menjawab salam daripada mereka. Demikian halnya seorang laki-laki
kepada mahramnya wajib atasnya menjawab salam dari mereka. Jika dia
seorang ajnabiyah (wanita bukan mahram), maka tidaklah
mengapa mengucapkan salam kepadanya ataupun membalas salamnya jika
wanita tersebut yang mengucapkan salam, selama aman daripada fitnah,
dengan syarat tanpa bersentuhan tangan/jabat tangan dan mendayu-dayukan suara.
7.
Daripada hal-hal yang tersebar di kalangan manusia adalah menjadikan
salam itu berbentuk isyarat atau memberi tanda dengan tangan. Jika
seseorang yang mengucapkan salam itu jauh, maka mengucapkan salam sambil
memberikan isyarat tidaklah mengapa, selama dia tidak dapat
mendengarmu, kerana isyarat ketika itu menjadi penunjuk salam dan tidak
ada pengganti selainnya, juga demikian dalam membalasnya.
8. Dianjurkan bagi orang yang duduk mengucapkan salam ketika dia hendak berdiri di dalam majlisnya. Sebagaimana sabda Nabi SAW, “Jika
kamu mendatangi suatu majlis hendaklah memberi salam, dan jika hendak
berdiri hendaklah juga memberi salam, dan tidaklah yang pertama itu
lebih berhak daripada yang terakhir”. (HR. Abu Dawud)
9. Disunatkan berjabat tangan ketika memberi salam dan memberikan tangannya kepada saudaranya. Nabi SAW bersabda : “Tidaklah bertemu dua orang muslim kemudian berjabat tangan kecuali Allah akan mengampuni dosanya sebelum berpisah”. (HR. Abu Dawud dan Turmudzi).
10. Menunjukkan wajah yang ceria, bermanis muka dan tersenyum ketika salam. Sebagaimana sabda Nabi SAW : “Senyummu
kepada saudaramu itu sedekah”, dan sabdanya pula “Janganlah engkau
remehkan suatu kebajikan sedikitpun, walaupun hanya bermanis muka
terhadap saudaramu”. (HR. Muslim)
11.
Disunatkan memberi salam kepada anak-anak sebagaimana Rasulullah SAW
sentiasa melakukannya, dan yang demikian ini adalah suatu hal yang
menggembirakan mereka, menanamkan rasa percaya diri dan menumbuhkan
semangat menuntut ilmu di dalam hati mereka.
12. Tidak diperbolehkan memulai salam kepada orang kafir sebagaimana di dalam sabda Nabi SAW : “Janganlah
mendahului Yahudi dan Nasrani dengan ucapan salam, jika engkau menemui
salah seorang daripada mereka di jalan, desaklah hingga mereka menepi
dari jalan”. (HR. Muslim) dan bersabda pula Nabi SAW : “Jika ahli kitab memberi salam kepadamu maka jawablah dengan wa’alaikum” (mutafaq ‘alaihi).
Maka
hidupkanlah wahai hamba Allah, sunnah yang agung ini di tengah-tengah
kaum muslimin agar lebih mempereratkan hati-hati kamu dan menyatukan
jiwa-jiwa kamu serta untuk meraih ganjaran dan pahala di sisi Allah.
Semoga salam dan shalawat sentiasa tercurahkan atas Nabi, keluarga
baginda dan sahabat-sahabat baginda seluruhnya. Amin..
Semoga bermanfaat..
Wallahu a’lam……
Tidak ada komentar:
Posting Komentar